Make your own free website on Tripod.com
baby diary
« May 2012 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5
6 7 8 9 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «
Blog Tools
Edit your Blog
Build a Blog
RSS Feed
View Profile
Kg.Binjai Rendah, Marang, Terengganu
Friday, 29 July 2005
Kenyataan penuh Dr Mahathir mengenai AP
Now Playing: http://www.marangdaily.net/fail/rasidi2005.wmv
Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad



1. Penjelasan ini ingin saya buat kerana akhbar dan TV tidak mungkin melapor semua fakta-fakta kepada orang ramai.



2. Soal Proton bukan soal perbezaan kenyataan antara mana-mana individu, atau perkelahian antara Menteri dengan pesara. Sebaliknya ia adalah berkenaan sebuah perusahaan nasional.


Di zaman di waktu mana banyak perusahaan kereta bermotor sudah bankrap dan tutup kedai, umpamanya Austin, Morris, MG-Rover dan lain-lain, dan syarikat gergasi seperti General Motors dan Chrysler sudah bankrap, Proton masih hidup dan subur, mempunyai wang tunai lebih daripada 2 billion Ringgit dan tidak bergantung kepada Kerajaan atau bank untuk melabur lebih daripada 2 billion Ringgit dalam kilangnya yang baru di Tanjung Malim.


Sedikit sebanyak kejayaan ini tentulah hasil pengurusan yang cekap, lebih-lebih lagi memandangkan kesan daripada import kereta buatan asing yang begitu banyak dengan harga import yang begitu murah.


3. AP (Approved Permit) mula dikeluar pada tahun tujuh puluhan, sebelum ada Proton. Pada masa itu orang Melayu tidak dapat masuk perniagaan kereta kerana ejen-ejennya seperti Kah Motors (Honda), UMW (Toyota) dan Cycle and Carriage (Mercedes) dan lain-lain terdiri daripada bukan bumiputra. Mereka enggan memberi peluang bagi peniaga bumiputra.


4. Kereta-kereta yang dipasang dalam negara atau diimport oleh ejen/dealer (pengedar)/pengimport yang rasmi tidak boleh diimport oleh sesiapa lain tanpa membayar “over-riding” komisyen kepada ejen rasmi.


5. Justeru itu AP diberi untuk import kereta terpakai yang telah dibaiki (recon cars). Walaupun ramai bumiputra yang menjual AP tetapi terdapat bumiputra yang berjaya dalam bidang perniagaan ini. Di antara mereka ialah Tan Sri S. M. Nasimuddin S. M. Amin. Tanpa AP ini tidak mungkin ada peniaga kereta bumiputra sebelum Proton dikeluarkan. Apabila Proton dikeluarkan ramailah bumiputra yang berjaya menjadi ejen penjual kereta Proton.


6. Pengeluaran Proton berjaya mengurangkan import kereta buatan asing oleh ejen-ejen bukan bumiputra. Sudah tentu lebih banyak permintaan untuk Proton lebih ramailah ejen bumiputra, dan lebih larislah penjualan oleh mereka.


7. Sebaliknya apabila AP diberi dengan lebih banyak kepada sebilangan yang kecil bumiputra, dan mereka ini pula tidak ada apa-apa persediaan untuk berniaga, maka tentulah jumlah peniaga kereta bumiputra tidak bertambah dengan banyak dan penjualan Proton oleh ejen-ejen Proton yang terdiri daripada bumiputra tidak akan laris.


Lagipun harga kereta asing yang diimport dengan AP ini terlalu rendah, yang mana ini membolehkan kereta ini diberi diskaun yang tinggi dan penjualan menjadi laris. Di masa yang sama ejen Proton tidak dapat di tambah.


8. Jelas sekali pemberian AP ini menguntungkan segelintir bumiputra tertentu dan merugikan ejen Proton, bumiputra terutamanya, serta mengurangkan peluang bumiputra lain untuk menjadi peniaga kereta Proton. Tidaklah benar pengeluaran AP yang banyak menambah bilangan bumiputra dalam perniagaan kereta, terutama apabila dua tiga orang yang tidak ada kedai mendapat beribu-ribu AP.


9. AP terbuka dahulu membolehkan pemegang mengimport pelbagai jenama. Apabila diperkenalkan AP francais maka hanya mereka yang dapat francais ini sahaja yang boleh mengimport jenama berkenaan. Mereka yang dahulu dibenarkan mengimport melalui AP terbuka, sekarang tidak lagi dapat mengimport jenama berkenaan.


Yang mendapat francais ini bukanlah peniaga kereta tetapi bekas pegawai Kementerian. Mereka ini mendapat beribu-ribu AP walaupun tidak ada kemudahan untuk memasang atau menjual kereta-kereta ini. Mereka hanya menyerah (dengan bayaran tertentu) kepada pihak yang mampu memasang dan menjual kereta jenama tertentu ini.


10. Soal kualiti Proton tidak timbul kerana Proton berjaya menembusi pasaran yang canggih seperti United Kingdom dan Australia. Namun keluaran model baru tetap mempunyai sedikit kecacatan. Berpuluh ribu kereta jenama terkenal biasa di tarik balik kerana kecacatan tertentu. Ini termasuk Mitsubishi, Chevrolet, Ford dan lain-lain.


11. Penjelasan ini dibuat demi maruah dan kepentingan negara dan sebuah perusahaan nasional yang berjaya. Saya tidak ada apa-apa kepentingan dalam Proton. Saya tidak menerima barang satu sen pun sebagai penasihat Proton. Jika anak saya dapat sebilangan yang kecil (95 AP) untuk kereta Porsche, ia adalah mengikut syarat. Untuk menjual 50 biji kereta jenama ini tidak mudah. Janganlah seperti dahulu mengaitkan keluarga saya apabila perbuatan yang tidak harus dibuat dilakukan.


12. Saya terpaksa mendedah sepenuhnya kerana kepentingan perusahaan negara, bukan seperti yang didakwa oleh seorang penulis akhbar berbahasa Inggeris kerana saya tidak dapat AP.


13. Saya telah terima surat penjelasan daripada YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Saya dapati isi kandungan surat berkenaan serta lampiran tidak menjadi bukti akan kebenaran dakwaan YB Menteri, berkenaan:


i) Kelulusan untuk Naza Ria menjadi kereta nasional;


ii) Jumlah AP yang dikeluarkan pada 2004 – 2005;


iii) Asas dan syarat untuk keluaran AP;


iv) Jenis AP yang dikeluarkan;


v) Nama-nama mereka (syarikat/individu) yang mendapat AP, dan jumlah yang didapati masing-masing.


14. Di mesyuarat Agong Umno pula YB Menteri telah buat beberapa dakwaan yang tidak benar. Juga dalam temuramah TV Menteri mendakwa bahawa saya mungkin sudah lupa itu dan ini. Walaupun saya sudah berusia 80 tahun saya belum lagi nyanyok.


15. Pada mulanya setelah menjawab surat Menteri dengan salinan kepada Kabinet saya tidak berhajat untuk membuat apa-apa kenyataan lagi. Terpulanglah kepada Kabinet untuk menentukan apakah yang benar dan apa yang tidak benar. Tetapi oleh kerana YB Menteri tidak membuat kenyataan yang benar kepada perwakilan Umno dan orang ramai, maka terpaksalah saya membuat penjelasan.


16. Semasa saya jadi Perdana Menteri tidak ada keputusan oleh Kerajaan untuk tidak mengisytihar nama-nama pemegang AP kepada orang ramai. Mungkin Kerajaan sekarang telah membuat keputusan ini. Soalnya ialah apakah keputusan ini dibuat sebelum atau selepas YB Menteri membuat kenyataan bahawa dasar Kerajaan tidak membenarkan nama-nama pemegang AP diumumkan.


17. Saya pernah menjadi Menteri Perdangangan dan Industri. Penjelasan oleh YB Menteri bahawa apabila beliau mengambilalih Kementerian terdapat ramai yang diberi AP yang tidak memenuhi syarat dan beliau membatalkan AP kepada mereka, mencerminkan ketegasan YB Menteri pada masa itu. Siapakah Menteri Perdagangan dan Industri yang mendahului YB Menteri sekarang? Jika tidak disebut mungkin ada yang memikir sayalah orangnya.


18. Pemberian AP kepada bekas Pegawai Kerajaan. Walaupun tidak ada larangan secara rasmi bahawa pegawai yang baru bersara (secara pilihan) diberi peluang istimewa oleh Kerajaan, tetapi umum tertanya-tanya kenapa bekas pegawai ini, dengan tidak pun memiliki syarat-syarat yang ditetapkan telah diberi beribu-ribu AP.


19. Kita tahu ramai daripada peniaga kereta, termasuk yang menjadi ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah meminta AP tetapi tidak dapat. Mereka juga tidak diberitahu berkenaan kategori francais dari exporter yang jika didapati melayakkan anugerah AP yang banyak. Pengenalan AP francais ini tidak diumum kepada peniaga kereta secara terbuka. Tiba-tiba kategori ini diperkenalkan dan orang tertentu mendapat AP yang begitu banyak dalam kategori ini. Dan pemegang AP yang dahulu dapat mengimport jenama francais tidak lagi dibenar mengimport jenama ini.


20. Saya tidak irihati dengan orang Melayu yang menjadi kaya. Tetapi kekayaan mereka hendaklah dengan jalan yang sah. Saya telah berkali-kali menegur mereka yang menjual AP untuk kaya cepat. Ternampak jelas yang penjualan AP berleluasa sekarang. Adalah menjadi tanggungjawab seseorang Menteri untuk memerhati keadaan supaya sebarang penyelewengan tidak berlaku.


21. Butiran terperinci berkenaan surat-menyurat antara pihak-pihak berkenaan akan disusuli kemudian untuk mengelak daripada pertikaian.

- zs

Posted by kgbinjairendah at 6:21 PM JST
Post Comment | Permalink
Ekuiti Melayu tertinggi zaman Ku Li jadi Menteri Kewangan - Husam Musa
Ekuiti Melayu tertinggi zaman Ku Li jadi Menteri Kewangan - Husam KETEREH (Kelantan), 29 Julai (Hrkh) – Kejayaan orang Melayu memiliki ekuiti kekayaan negara sehingga mencapai 22 peratus hanya berlaku ketika Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Menteri Kewangan.

Pada kemuncak itu hanya sebanyak lapan peratus lagi menghampiri 30 peratus sebagaimana ditetapkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin ketika melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971.

Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa berkata, bagaimanapun selepas anggota Parlimen Gua Musang terbabit meninggalkan Kementerian Kewangan, ekuiti milik orang Melayu semakin merosot.

“Sekarang ekuiti milik orang Melayu hanya sekitar 18 peratus sahaja. Keadaan ini berlaku kerana orang Melayu yang mendapat kontrak kerajaan menjual kepada orang lain,” katanya pada ceramah di Kampung Gondang, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Ketereh, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, Penyelia DUN Kok Lanas, Haji Ashaari Mamat, Penyelia Parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Abdul Kadir dan Adun Kadok, Haji Mohd Shukri Abdul Rahman.

Cakap bela Melayu tetapi rumah Tunku dijual kepada The Star

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri turut mendedahkan pemimpin Umno kononnya bercakap hendak bela nasib orang Melayu, namun dalam masa yang sama banyak melakukan tindakan menyebabkan orang Melayu semakin kehilangan haknya.

Katanya, ia dapat dibuktikan apabila kerajaan membiarkan rumah milik bekas Perdana Menteri pertama, Tuanku Abdul Rahman dijual anggota keluarganya kepada syarikat akhbar bukan Melayu, baru-baru ini.

“Rumah itu sepatutnya menjadi satu sejarah kepada negara kerana dijual kerajaan dengan harga murah kepada bekas perdana menteri selepas tidak lagi menjadi pemimpin negara.

“Namun beberapa hari lalu saya diberitahu kerajaan membiarkan rumah bersejarah itu dijual kepada orang bukan Melayu. Sepatutnya kerajaan membeli semula rumah tersebut kerana ia mempunyai nilai tinggi kepada negara,” ujarnya.

Beliau berkata, amat malang tindakan itu berlaku ketika pemimpin Umno tengah sibuk bercakap mengenai semangat Melayu.

“Kalau benar-benar serius bercakap mengenai semangat Melayu sepatutnya rumah yang mempunyai nilai sejarah milik bekas pemimpin negara itu tidak dibiarkan dimiliki orang bukan Melayu,” tambahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau melihat ada kebenaran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Rafidah Aziz yang tidak bercakap benar berkaitan isu permit import (AP).

Dakwa beliau, ada pemimpin Umno sendiri memberitahu seorang daripada penerima AP terbanyak yang diberi Rafidah hanya memiliki sebuah sahaja bilik pameran kereta.

Katanya, banyak sijil AP yang dimiliki hanya dijual begitu sahaja tanpa perlu memiliki bilik pameran sebagaimana disyaratkan. Menurut Husam, pemilik AP terbabit bersara awal daripada jawatan kerajaan dan kini memiliki kekayaan luar biasa.

“Dalam menangani isu ini nampak sangat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu lemah dan tidak boleh buat apa-apa,” ujarnya.

Husam berkata, hampir kesemua pemimpin utama Umno tidak dapat dipisahkan daripada rasuah politik kecuali presiden dan timbalannya kerana mereka memenangi jawatan tersebut tanpa melalui pertandingan.
- MJ

Posted by kgbinjairendah at 6:17 PM JST
Post Comment | Permalink
Thursday, 14 July 2005
Lebih 16,000 tidak lapor PLKN
Mood:  cool

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kumpulan ketiga Siri 2/2005 bermula Ahad lalu, mencatatkan ketidakhadiran peserta paling ramai sejak diperkenalkan tahun lalu apabila lebih separuh daripada 29,569 remaja yang terpilih dilaporkan tidak mendaftar.

Daripada jumlah itu, lebih 6,000 peserta memohon penangguhan, manakala 10,000 lagi mendakwa tidak menerima surat panggilan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Omar Abdul Rahman, berkata keadaan itu tidak membimbangkan kerana ia bukan bermakna remaja terbabit ingkar.

JLKN sudah menjangka ramai remaja akan memohon penangguhan kerana siri program kali ini agak rapat dengan jadual kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta Tingkatan Enam.

“Remaja yang melanjutkan pelajaran akan diberi kelulusan automatik tetapi mereka perlu menyertakan surat tawaran dan bukti pendaftaran ke IPT atau Tingkatan Enam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Omar berkata, 10,000 remaja yang tidak mendaftar Ahad lalu kerana tidak menerima surat, boleh mendaftar mulai sekarang.

Remaja yang masih tidak menerima surat, boleh menghubungi jabatan itu bagi menyemak nama serta kem tempat mereka menjalani latihan.

Posted by kgbinjairendah at 12:01 PM JST
Post Comment | Permalink

Newer | Latest | Older